Strategi kami menghafal Al Quran

Strategi kami menghafal Al Quran

Bismillah. Ramadhan lepas, saya memberanikan diri menyertai sebuah WhatsApp kumpulan hafazan dimana pesertanya adalah golongan sebaya saya; iaitu kumpulan makcik makcik.

Lucu juga kerana pada usia senja ini kami baru merangkak-rangkak nak menghafaz surah-surah dalam Juz Amma. Ramai juga yang berasa skeptik bila kami yang dah berumur ni meraba-raba nak baca quran dengan betul dan menghafaz quran.

Ada yang bertanya apa faedahnya menghafaz? Bukankah memahami quran itu lebih baik? Sebenarnya untuk menghafaz apabila CPU sudah berkelajuan perlahan dan RAM sudah berkurangan, memerlukan banyak strategi. Antaranya kami perlu memahami ayat yang dibaca, kami perlu membentuk memori visual & auditori yang kuat.

Kami juga perlu banyak latihan membina memori jangka pendek dan memori jangka panjang. Dan kami juga perlu merubah gaya hidup; kurangkan hiburan, lebihkan pengisian hati dan fikiran. Ada hikmah semua ini. Kami dapat tadabbur, kami dapat hafaz (mana yang termampu) dan kami dapat merubah gaya hidup.

Lagipun kami khuatir apabila nikmat penglihatan, pendengaran sudah dipulangkan kembali ke Rabbul Alamin, maka bagaimana nanti kami mampu membaca atau mendengarkan Kalamullah kecuali apa yang telah dihafaz? Kami bersyukur direzekikan peluang ini.

Alhamdulillah. ‪