MAPIM Sabah lancar 36 Rumah Ngaji di Sandakan

Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Sabah melakar sejarah melancarkan 36 Rumah Ngaji MAPIM di Sandakan dan menganjurkan Sandakan #QuranHour di Masjid Daerah Sandakan, pada 27 Januari lalu.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Rumah Negeri Sabah, Zakaria Idris, mewakili Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Penganjuran program itu turut mendapat kerjasama Ahli Jawatankuasa Rumah Ngaji MAPIM Sabah dan Daerah Sandakan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas serta Jawatankuasa Masjid Daerah Sandakan.

Musa dalam teks ucapannya berkata, kerajaan negeri  komited memastikan kefahaman agama Islam dapat disemai dalam masyarakat Islam di negeri ini.

“Kefahaman Islam penting bagi melahirkan Muslim berkualiti, namun usaha ini tidak akan tercapai sekiranya mereka tidak dapat memahami dan menghayati al-Quran sebagai mukjizat serta petunjuk sepanjang zaman,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MAPIM Sabah, Otoh Sibik Sahak berkata, pihaknya merancang membuka lebih banyak Rumah Ngaji MAPIM Sabah di peringkat daerah Kudat, Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

“Ia selari dengan objektif MAPIM iaitu memberi kemahiran ilmu kepada institusi keluarga di seluruh negara.

“Kalangan qari dan qariah berbangga kerana diberi penghormatan dan pengiktirafan dalam majlis begitu bermakna. Selama ini, mereka yang mengajar al-Quran di taman perumahan dan perkampungan sejak berpuluh tahun rasa terpinggir.

“Di Sandakan, terdapat tiga pusat tahfiz yang boleh melahirkan tenaga pengajar di Rumah Ngaji pada masa akan datang. Saya berharap, tenaga pengajar di Rumah Ngaji yang sedia ada harus dibantu dari segi kursus dan bimbingan untuk menyampaikan ilmu al-Quran lebih berkesan,” katanya

Penggerak Rumah Ngaji Sabah, Noorazlinah Awang pula berkata, Sandakan #QuranHour bertemakan ‘9 Pesan Luqman’ pertama kali diadakan di Sabah.

“Saya berharap lebih ramai pihak, organisasi dan masyarakat dapat berinteraksi dengan al-Quran,” katanya.

Program berinteraksi dengan al-Quran dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Awang Juri Awang Tahir, diikuti Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 oleh Ketua Daerah Sandakan Orang Kaya Kaya (OKK) Awang Damit Abdul Rahim.

Antara pembawa panji Surah Luqman ialah Mohamad Brenge Jalali Al Hafiz, Mohd Nazri Apin,  Rizlan Apin, Mohd Salleh P Tanri, (Da’ie) Samsudin Ibrahim, Fauzin Abdul Muin, Adam Hussin dan Matsaha Adiris.

Penasihat Modul Rumah Ngaji, Safri Muhammad Zein berkongsi ilmu dalam sesi tadabbur dan tazakkur Surah Luqman.

“Terdapat empat faktor kejayaan Luqman Al Hakim mendidik anak iaitu adanya komunikasi baik antara ayah dan anak, menanamkan keyakinan ketegasan tentang kebenaran, ucapan lemah-lembut dan tutur kata sopan, dan memberikan solusi terbaik bagi setiap teguran atau larangan,” katanya.

Sandakan #QuranHour diakhiri dengan bacaan Ikrar Quran yang diketuai oleh Otoh, diikuti penyampaian watikah kepada ketua-ketua Rumah Ngaji Mapim Sabah. Program itu dihadiri lebih 500 tetamu, terdiri daripada ahli Rumah Ngaji, pusat tahfiz, ketua kampung, dan ahli jawatankuasa masjid.